|
BAB.41
Keharamannya Berani — Kepada Orangtua — Dan Memutuskan Ikatan Kekeluargaan
Allah Ta'ala berfirman:
"Apakah barangkali, andaikata engkau semua
berkuasa, maka engkau semua akan membuat kerosakan di bumi dan memutuskan
ikatan kekeluargaanmu semua.
"Orang-orang yang sedemikian itu adalah
orang-orang yang dilaknat oleh Allah, lalu Allah memekakkan pendengaran
mereka dan membutakan penglihatan mereka." (Muhammad: 22-23)
Allah
Ta'ala juga berfirman:
"Dan orang-orang yang merosak janji Allah sesudah
teguhnya dan pula memutuskan apa-apa
yang diperintah oleh Allah untuk dihubungkannya serta membuat kerosakan di
bumi, maka mereka itulah yang mendapatkan kelaknatan dan akan memperolehi
kediaman yang buruk." (ar-Ra'ad: 25)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Dan Tuhanmu telah menentukan supaya engkau semua jangan
menyembah melainkan Dia dan supaya engkau semua berbuat baik kepada kedua orang tua. Dan kalau salah
seorang di antara keduanya ada di sisimu sampai usia tua, maka janganlah
engkau berkata kepada keduanya dengan ucapan "cis", dan jangan
pula engkau menggertak keduanya, tetapi ucapkanlah kepada keduanya itu
ucapan yang mulia - penuh kehormatan.
"Dan turunkaniah sayap kerendahan - maksudnya:
Rendahkanlah dirimu - terhadap kedua orangtuamu itu dengan kasih-sayang dan
katakanlah: "Ya Tuhanku, kasihanilah kedua orangtuaku itu sebagaimana
keduanya mengasihi aku di kala aku masih kecil." (al-lsra': 23-24)
336. Dari Abu Bakrah iaitu Nufai' bin al-Harits r.a'., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidakkah engkau semua suka saya memberitahukan perihal
sebesar-besarnya dosa besar?" Beliau menyabdakan ini sampai tiga kali.
Kita-para sahabat- menjawab: "Baiklah,ya Rasulullah." Beliau
s.a.w. bersabda: "Menyekutukan kepada Allah dan berani kepada
kedua orangtua." Semula beliau
s.a.w. bersandar lalu duduk kemudian bersabda lagi:
"Ingatlah, juga mengucapkan kedustaan serta menyaksikan secara
palsu." Beliau s.a.w. senantiasa mengulang-ulanginya kata-kata yang
akhir ini, sehingga kita mengucapkan: "Alangkah baiknya, jikalau
beliau diam berhenti mengucapkannya." (Muttafaq 'alaih)
337. Dari Abdullah bin Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma
dari Nabi s.a.w, bersabda:
"Dosa-dosa besar itu ialah menyekutukan kepada Allah,
berani kepada kedua orangtua, membunuh seseorang - tidak sesuai dengan
haknya - serta bersumpah secara palsu." (Riwayat Bukhari)
Alyaminul ghamus ialah sesuatu yang
disumpahkan oleh seseorang dengan dusta dan disengaja, dinamakan ghamus,
sebab sumpah sedemikian itu menerjunkan orang yang bersumpah itu ke dalam
dosa.
338. Dari Abdullah bin Amr bin al-'Ash r.a. pula bahawasanya
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Termasuk dalam golongan dosa-dosa besar ialah jikalau
seseorang itu memaki-maki kedua orang tuanya sendiri." Para sahabat
bertanya: "Ya Rasulullah,adakah seseorang itu memaki-maki kedua orang
tuanya sendiri." Beliau s.a.w. menjawab: "Ya, iaitu apabila
seseorang itu memaki-maki ayah seseorang, lalu orang yang dimaki-maki
ayahnya itu lalu memaki-maki ayahnya sendiri. Atau seseorang itu
memaki-maki ibu orang lain, lalu orang yang dimaki-maki ibunya ini,
memaki-maki ibunya sendiri." (Muttafaq ''alaih)
Dalam riwayat lain disebutkan:
"Sesungguhnya termasuk sebesar-besarnya dosa besar ialah
apabila seseorang itu melaknat kepada kedua orang tuanya sendiri."
Beliau s.a.w. ditanya: "Ya Rasulullah, bagaimanakah seseorang itu
melaknat kedua orang tuanya sendiri?" Beliau s.a.w. bersabda:
"Iaitu orang tadi memaki-maki ayah orang lain, lalu orang ini
memaki-maki ayahnya sendiri atau orang itu memaki-maki ibu orang lain, lalu
orang ini memaki-maki ibunya sendiri."
339. Dari Abu Muhammad, iaitu Jubair bin Muth'im r.a.
bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak akan masuk syurga seseorang yang memutuskan."
Sufyan berkata dalam riwayatnya bahawa yang dimaksudkan ialah
memutuskan ikatan kekeluargaan. (Muttafaq 'alaih)
340. Dari Abu Isa, iaitu al-Mughirah bin Syu'bah r.a. dari
Nabi s.a.w., sabdanya:
"Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu semua akan
berani kepada para ibu,juga mencegah - tidak melaksanakan apa-apa yang
wajib atas dirinya, meminta yang bukan miliknya serta menanam anak-anak
perempuan hidup-hidup. Allah membenci kepada kata-kata qil wa qal - yakni:
katanya dari si Anu, ujarnya dari si Anu, tetapi tidak ada kepastiannya,
juga memperbanyak pertanyaan serta menyia-nyiakan harta dibelanjakan
kepada sesuatu yang bukan semestinya." (Muttafaq 'alaih)
Sabda Nabi s.a.w. man'an ialah mencegah atau tidak
menunaikan apa-apa yang diwajibkan atau yang sudah menjadi kewajipan
dirinya. Hati ertinya meminta yang bukan milik atau haknya, Wa'dul
banal, iaitu menanam anak-anak perempuan dengan hidup-hidup. Qil
wa qal maknanya ialah segala sesuatu yang didengarnya - sekalipun
belum pasti kebenarannya. Orang yang suka qil wa qal itu suka mengatakan:
"Dikatakan oleh si Fulan itu begini, atau si Fulan
itu berkata demikian, semua
kata-kata itu tidak dapat diketahui
kebenarannya atau bahkan tidak disangka bahawa kata-kata itu benar.
Cukuplah seseorang itu disebut berdusta, jikalau ia mempercakapkan segala
apa yang didengarnya. Idha'atul mal, iaitu ditabzirkan,diobralkan
atau dibelanjakan untuk jurusan-jurusan yang tidak diizinkan oleh syariat,
iaitu baik yang berhubungan dengan tujuan-tujuan keakhiratan atau
keduniaan, atau tidak suka menyimpannya, padahal mungkin sekali untuk
disimpan - yakin ia kuasa menyimpan. Katsratus
sual, yakni banyak bertanya atau meminta
sesuatu yang ia sendiri tidak memerlukan itu.
Dalam bab ini masih banyak lagi Hadis-hadis yang sudah
disebutkan dalam bab .sebelumnya seperti Hadis - yang ertinya: "Dan
Aku memutuskan orang yang memutuskan engkau - kekeluargaan, juga Hadis -
yang ertinya: "Barangsiapa yang memutuskan aku - kekeluargaan, maka
Allah memutuskan ia - lihat Hadis-hadis no. 315 dan 323.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar