|
35
Hak Suami Atas Isteri (Yang Wajib Dipenuhi Oleh Isteri)
Allah Ta'ala
berfirman:
"Kaum lelaki
itu adalah pemimpin-pemimpin atas kaum wanita - isteri-isterinya, kerana
Allah telah melebihkan sebahagian mereka dari yang lainnya, juga kerana kaum
lelaki itu telah menafkahkan dari sebahagian hartanya. Oleh sebab itu kaum
wanita yang shalihah ialah yang taat serta menjaga dirinya di waktu ketiadaan
suaminya, sebagaimana yang diperintah untuk menjaga dirinya itu oleh
Allah." (an-Nisa':34)
Keterangan:
Menilik isi yang tersirat dalam ayat di atas, maka Allah Ta'ala
sudah memberikan ketentuan yang tidak dapat diubah-ubah atau sudah merupakan sunatullah,
iaitu bahawa keharmonian rumahtangga itu, manakala lelaki dapat menguasai
seluruh hal-ehwal rumahtangga, dapat mengatur dan mengawasi isteri sebagai
kawan hidupnya dan menguasai segala sesuatu yang masuk dalam urusan
rumahtangganya itu sebagaimana pemerintah yang baik, pasti dapat menguasai
dan mengatur sepenuhnya perihal keadaan rakyat.
Manakala ini terbalik, misalnya isteri yang menguasai suami,
atau sama-sama berkuasanya, sehingga seolah-olah tidak ada pengikut dan yang
diikuti, tidak ada pengatur dan yang diatur, sudah pasti keadaan rumahtangga
itu menemui kericuan dan tidak mungkin ada ketenangan dan ketenteraman di
dalamnya.
Ringkasnya para suamilah yang wajib menjadi Qawwaamuun, yakni
penguasa, khususnya kepada isterinya. Ini dengan jelas diterangkan oleh Allah
perihal sebab-sebabnya, iaitu kaum lelakilah yang dikurniai Allah Ta'ala akal
yang cukup sempurna, memiliki kepandaian dalam mengatur dan menguasai segala
persoalan, juga kekuatannya pun dilebihkan oleh Allah bila dibandingkan dengan
kaum wanita, baik dalam segi pekerjaan ataupun peribadatan dan ketaatan
kepada Tuhan. Selain itu suami mempunyai pertanggunganjawab penuh untuk
mencukupi nafkah seluruh isi rumahtangga itu.
Oleh sebab itu isteri itu baru dapat dianggap shalihah, apabila
ia selalu taat pada Allah, melaksanakan hak-hak suami, memelihara diri di
waktu suaminya tidak di rumah dan tidak seenaknya saja dalam hal memberikan
harta yang menjadi milik suaminya itu. Dengan demikian isteri itu pun pasti
akan dilindungi oleh Allah dalam segala hal dan keadaan, juga ditolong untuk
dapat melaksanakan tanggungjawabnya yang dipikulkan kepadanya mengenai urusan
rumahtangganya itu.
Adapun Hadis-hadisnya, maka di antaranya ialah Hadisnya 'Amr bin
al-Ahwash di muka dalam bab sebelum ini - lihat Hadis no. 276.
282. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Jikalau seseorang lelaki mengajak isterinya ke tempat
tidurnya, tetapi isteri itu tidak mendatangi ajakannya tadi, lalu suami itu
menjadi marah pada malam harinya itu, maka para malaikat melaknati - mengutuk
- isteri itu sampai waktu pagi." (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim yang lain lagi,
disebutkan demikian: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila seseorang isteri meninggalkan tempat tidur suaminya
pada malam harinya, maka ia dilaknat oleh para malaikat sampai waktu
pagi."
Dalam riwayat lain lagi disebutkan sabda Rasulullah s.a.w.
demikian:
Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, tiada
seseorang lelaki pun yang mengajak isterinya untuk datang di tempat tidurnya,
lalu isteri itu menolak ajakannya, melainkan semua penghuni yang ada di
langit - yakni para malaikat - sama murka pada wanita itu sehingga suaminya
rela padanya - yakni mengampuni kesalahannya."
283. Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Tiada halal - yakni haram - bagi seorang isteri untuk
berpuasa - sunnat - sedangkan suaminya menyaksikan - yakni ada, melainkan
dengan izin suaminya itu dan tidak halal mengizinkan seseorang lelaki lain
pun untuk masuk rumahnya - baik lelaki lain mahramnya atau bukan, kecuali
dengan izin suaminya." (Muttafaq 'alaih)
Dan yang di atas itu lafaznya Imam Bukhari.
284. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w.
sabdanya:
"Semua orang dari engkau sekalian itu adalah pemimpin dan
semuanya saja akan ditanya perihal pimpinannya. Seorang amir - pemerintah -
adalah pemimpin, orang lelaki juga pemimpin pada keluarga rumahnya, orang
perempuan pun pemimpin pada rumah suaminya serta anaknya. Maka dari itu semua
orang dari engkau sekalian itu adalah pemimpin dan semua saja akan ditanya
perihal pimpinannya." (Muttafaq 'alaih)
285. Dari Abu Ali, iaitu Thalq bin Ali r.a. bahawasanya
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jikalau seseorang lelaki mengajak isterinya untuk
keperluannya - masuk ke tempat tidur - maka wajiblah isteri itu mendatangi -
mengabulkan - kehendak suaminya itu, sekalipun di saat itu isteri tadi sedang
ada di dapur."
Diriwayatkan oleh Imam-Imam Tirmidzi dan an-Nasa'i dan Tirmidzi
berkata bahawa ini adalah Hadis hasan.
286. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:
"Andaikata saya boleh menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang
lain, nescayalah saya akan menyuruh isteri supaya bersujud kepada
suaminya."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan shahih.
287. Dari Ummu Salamah radhiallahu 'anha, katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Mana saja wanita yang meninggal dunia sedang suaminya rela
padanya - tidak sedang mengkal padanya, maka wanita itu akan masuk
syurga."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan.
289. Dari Usamah bin Zaid radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w.,
sabdanya:
"Saya tidak meninggalkan sesuatu fitnah sepeninggalku nanti
yang fitnah itu Iebih besar bahayanya untuk dihadapi oleh kaum lelaki, Iebih
hebat dari fitnah yang ditimbulkan oleh kerana persoalan orang-orang
perempuan." (Muttafaq 'alaih)
288. Dari Mu'az bin Jabal r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Tidaklah seseorang isteri itu menyakiti pada suaminya di dunia - baik
hati atau badannya, melainkan isterinya yang dari bidadari yang membelalak
matanya itu berkata: "Janganlah engkau menyakiti ia, semoga engkau
mendapat siksa Allah. Hanyasanya ia di dunia itu adalah sebagai tamu bagimu,
yang hampir sekali akan berpisah denganmu untuk menemui kita."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar