|
|
Bab.13
Menerangkan Banyaknya Jalan-jalan Kebaikan
Allah Ta'ala berfirman:
"Dan apa saja yang engkau semua lakukan dari kebaikan, maka
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahuinya." (al-Baqarah: 215)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Dan apa saja yang engkau semua lakukan dari kebaikan,
pasti Allah Maha Mengetahuinya." (al-Baqarah: 197)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Maka barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat
timbangan debu, maka Ia akan mengetahuinya - di akhirat nanti memperolehi
balasannya." (az-Zalzalah: 7)
Juga Allah Ta'ala berfirman:
"Barangsiapa yang melakukan amal shalih, maka perbuatannya
Itu akan menguntungkan dirinya sendiri." (al-Jatsiyah: 15)
Ayat-ayat yang berhubungan dengan bab ini amat banyak sekali.
Adapun Hadis-hadis yang menghuraikan bab ini juga amat banyak
sekali dan tidak dapat diringkaskan keseluruhannya. Maka itu akan kami
sebutkan sebahagian daripada Hadis-hadis tersebut:
117. Pertama: Dari Abu Zar, iaitu Jundub bin Junadah r.a.,
katanya: "Saya berkata: Ya Rasulullah, amalan manakah yang lebih utama -
banyak fadhilahnya?" Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu beriman kepada
Allah dan berjihad untuk membela agamaNya." Saya bertanya lagi: "Hamba
sahaya manakah yang lebih utama?" Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu
yang dipandang terindah bagi pemiliknya serta yang termahal harganya."
Saya bertanya pula: "Jikalau saya tidak dapat mengerjakan
itu -yakni berjihad fi-sabilillah ataupun memerdekakan hamba sahaya yang mahal
harganya, maka apakah yang dapat saya lakukan?" Beliau s.a.w. bersabda:
"Berilah pertolongan kepada seseorang pekerja - shani' - atau
engkau mengerjakan sesuatu kepada seseorang yang kurang pandai bekerja - akhraq."
Saya berkata pula: "Ya Rasulullah, bukankah Tuan telah mengetahui,
jikalau saya ini lemah sekali dalam sebahagian pekerjaan?" Beliau s.a.w.
bersabda:
"Tahanlah keburukanmu, jangan sampai mengenai orang banyak,
amalan sedemikian itu pun merupakan sedekah daripadamu untuk dirimu sendiri -
yakni tidak mengganggu orang lain." (Muttafaq 'alaih)
Lafaz Shani' - yang ertinya pekerja - dengan menggunakan
shad muhmalah, itulah yang masyhur. Tetapi ada riwayat lain yang menyebutkan
bahawa kalimat itu berbunyi dha-i', yakni dengan mu'jamah - dhad, maka
ertinya ini ralah orang yang mempunyai banyak apa-apa yang hilang, misalnya
kerana kefakirannya ataupun kerana kekurangan keluarga-keluarganya dan
lain-lain lagi. Adapun akhraq itu ertinya ialah orang yang tidak dapat
memperbaguskan apa-apa yang sedang diusahakan untuk mengerjakannya.
118. Kedua: Dari Abu Zar r.a. juga bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Setiap ruas tulang dari seseorang di antara engkau semua
itu setiap paginya hendaklah memberikan sedekahnya, maka tiap setasbihan -
bacaan Subhanallah - adalah sedekah, tiap setahmidan -bacaan Alhamdulillah
- adalah sedekah, tiap setahlilan bacaan La ilaha illallah -
adalah sedekah, tiap setakbiran - bacaan AllahuAkbar - adalah sedekah,
memerintah pada kebaikan adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah
dan yang sedemikian itu dapat dicukupi - diimbangi pahalanya - oleh dua
rakaat yang seseorang itu bersembahyang dengannya di waktu dhuha - antara
sedikit setelah terbitnya matahari sampai matahari di tengah-tengah atau
istiwa'." (Riwayat Muslim)
119. Ketiga: Dari Abu Zar juga, katanya: "Nabi s.a.w.
bersabda: "Ditunjukkanlah padaku amalan-amalan ummatku, yang baik dan
yang buruk. Maka saya mengetahuinya dalam golongan amalan-amalan yang baik
adalah menyingkirkan sesuatu yang berbahaya dari jalan, sedang dari golongan
amalan-amalan yang buruk ialah dahak yang dilakukan di dalam masjid dan tidak
ditanam." (Riwayat Muslim)
120. Keempat: Dari Abu Zar pula, bahawasanya orang-orang sama
berkata: "Ya Rasulullah, orang-orang yang kaya raya sama pergi dengan
membawa pahala yang banyak - kerana banyak pula amalannya. Mereka itu
bersembahyang sebagaimana kita juga bersembahyang, mereka berpuasa
sebagaimana kita juga berpuasa, tambahan lagi mereka dapat bersedekah dengan
kelebihan harta-harta mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bukankah Allah telah menjadikan untukmu semua sesuatu yang
dapat engkau semua gunakan sebagai sedekah. Sesungguhnya datam setiap tasbih
adalah merupakan sedekah, setiap takbir merupakan sedekah, setiap tahmid
merupakan sedekah, setiap tahlil merupakan sedekah, memerintahkan kebaikan
juga sedekah, melarang kemungkaran itu pun sedekah pula dan bahkan dalam
bersetubuhnya seseorang dari engkau semua itu pun sedekah."
Para sahabat berkata: "Ya Rasulullah apakah seseorang dari
kita yang mendatangi syahwatnya itu juga memperolehi pahala?" Beliau
s.a.w. bersabda:
"Adakah engkau semua mengerti, bagaimana jikalau syahwat
itu diletakkannya dalam sesuatu yang haram, adakah orang itu memperolehi
dosa? Maka demikian itu pulalah jikalau ia meletakkan syahwatnya itu dalam
hal yang dihalalkan, ia pun memperolehi pahala." (Riwayat Muslim)
Ad-dutsuur, dengan tsa' yang bertitik
tiga buah, ertinya harta benda yang melimpah ruah, mufradnya berbunyi Ditsrun.
Keterangan:
Yang menghadap Nabi s.a.w. ini adalah dari golongan kaum
Muhajirin (orang-orang yang sama berpindah mengikuti Nabi s.a.w. dari Makkah
ke Madinah) yang fakir-fakir. Jadi pokoknya mereka mengadu kerana merasa
kurang pahalanya kalau dibanding dengan orang-orang yang kaya-kaya itu, sebab
merasa tidak dapat bersedekah kerana miskinnya.
Setashbih, yakni sekali membaca tasbih (Subhanallah). Takbir
iaitu membaca Allahu Akbar. Tahmid yakni bacaan Alhamdulillah dan Tahlil
iaitu La ilaha illallah.
Dalam kemaluan isteri pun ada sedekahnya yakni bersetubuh itu
pun ada pahalanya seperti pahala sedekah.
Menyampaikan syahwat dalam keharaman yakni melacur atau berzina.
121. Kelima: Dari Abu Zar lagi, katanya: "Nabi s.a.w.
bersabda kepadaku:
"Janganlah engkau menghinakan sesuatu kebaikan sedikitpun,
sekalipun hanya dengan jalan engkau menemui saudaramu dengan wajah yang
berseri-seri." (Riwayat Muslim)
122. Keenam: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Setiap ruas tulang dari para manusia itu harus memberikan
sedekah setiap harinya yang di situ terbitlah matahari. Berlaku adil antara
dua orang itu pun sedekah, ucapan yang baik itu pun sedekah, dengan setiap
langkah yang dijalaninya untuk pergi shalat juga sedekah, melemparkan apa-apa
yang berbahaya dari jalan itu juga sedekah." (Muttafaq 'alaih)
Imam Muslim meriwayatkan juga dari riwayat Aisyah radhiallahu
'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bahawasanya setiap manusia dari Bani Adam itu dijadikan
atas tiga ratus enam puluh ruas tulang. Maka barangsiapa yang bertakbir
kepada Allah, bertahmid kepada Allah, bertahlil kepada Allah, bertasbih
kepada Allah, mohon pengampunan kepada Allah, suka melemparkan batu dari
jalan para manusia, ataupun duri ataupun tulang dari jalan orang banyak, atau
memerintahkan kebaikan atau melarang kemungkaran, sebanyak tiga ratus enam
puluh kali banyaknya, maka sesungguhnya orang itu berpetang-petang pada hari
itu dan ia telah menjauhkan dirinya dari neraka."
Keterangan:
Berlaku adil yang dimaksudkan dalam Hadis ini seperti waktu
memberi pulusan pada dua orang yang sedang berselisih adalah sebesar-besar
pahala dalam erti sedekah ini. Ingatlah firman Allah:
"Tidak ada kebaikan sama sekali di dalam bisik-bisik mereka
itu. Kecuali orang yang menyuruh bersedekah dan kebaikan atau yang
mendamaikan antara para manusia. Dan barangsiapa yang suka melakukan
sedemikian itu untuk mencari keredhaan Allah, maka padanya oleh Allah diberi pahala yang besar
sekali."
Perkataan yang baik itu seperti memberi nasihat, menunjukkan
orang yang tersesat jalan dan lain-lain.
Menghindarkan bahaya dari jalan misalnya bahaya itu ialah batu,
pecahan kaca, paku dan lain-lain agar tidak mengenai kaki orang yang
melaluinya.
123. Ketujuh: Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi
s.a.w.,sabdanya:
"Barangsiapa yang pergi ke masjid pagi atau petang hari,
maka Allah menyediakan untuknya sebuah jaminan - nuzul - dalam syurga setiap
ia pergi, pagi atau petang hari itu." (Muttafaq 'alaih)
Nuzul, maksudnya jaminan yang
berupa makanan atau rezeki dan apa saja yang dapat disediakan untuk tamu.
124. Kelapan: Dari Abu Hurairah r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Hai kaum muslimat - wanita Islam, janganlah seseorang
tetangga itu menghinakan tetangganya, sekalipun yang diberikan oleh
tetangganya itu hanya berupa kaki kambing." (Muttafaq 'alaih)
Imam al-Jauhari berkata: Al-Firsin, ertinya kaki binatang
umumnya dipergunakan untuk kaki unta, sebagaimana halnya lafaz At-Hafir dipergunakan
untuk menerangkan kaki ternak yang lain-lain. Tetapi adakalanya Al-Firsin itu
digunakan sebagai kata isti'arah (pinjaman) untuk menerangkan kaki kambing.
Keterangan:
Hadis ke-24 itu mengandungi dua macam pengertian iaitu:
Pertama: Orang yang diberi jangan
sekali-kali menghinakan tetangganya yang memberikan
sesuatu kepadanya, sekalipun berupa kaki kambing.
Huraian inilah yang kami cantumkan di atas dan sesuai pula dengan penafsiran
yang dapat kita periksa dalam kitab Dalilul Falihin syarah Riyadhus Shalihin,
yang dikarang oleh Syekh 'Alan ash-Shiddiqi asy-Syafi'i al-Makki yang
wafat pada tahun 1057 Hijriyah-Rahimahullahu Ta'ala rahmatan wasi'ah - yakni
dalam jilid kedua halaman 128, diterbitkan oleh "Darul Kitabil
'Arabi", Beirut Lebanon.
Jadi yang diberi hendaknya bersyukur dan mengucapkan terima
kasih kepada pemberinya, meskipun apa yang diberikan itu baginya tidak
bererti.
Sebabnya orang yang diberi itu dilarang menghinakan pemberian
orang lain, sekalipun sedikit nilainya, kerana pada umumnya orang yang enggan
berterima kasih pada pemberian sedikit, ia enggan pula berterima kasih pada
pemberian yang banyak.
Dalam sebuah Hadis lain di sebutkan:
"Tidak bersyukur kepada Allah orang yang enggan bersyukur kepada sesama manusia."
Kedua: Dapat pula diberi
penafsiran bahawa orang yang memberi itu jangan sekali-kali menghinakan
kecilnya pahala yang akan diperolehinya dengan jalan memberikan sedekah atau
hadiah yang disampaikan kepada tetangganya, meskipun hanya berupa kaki
kambing. Ini sebagai sindiran kerana yang diberikan itu amat sedikitnya,
kurang berharga atau tidak bererti.
Jadi memberi itu sekalipun sedikit adalah lebih baik daripada
tidak memberi sama sekali. Dalam persoalan pahalanya, Allah Ta'ala berfirman:
"Barangsiapa yang melakukan kebaikan - meskipun - itu
seberat debu (biji sawi atau semut kecil), maka ia akan mengetahuinya (yakni
mendapatkan pahalanya)."
Penjelasan ini sesuai dengan catatan yang ditulis oleh Al-Ustadz
Ridhwan Muhammad Ridhwan dalam kitab Riyadhus Shalihin yang diterbitkan
oleh "Darul Kitabil 'Arabi", Beirut Libanon.
Kedua pendapat di atas itu sama-sama dapat dipakainya, yakni
baik bagi pemberi atau yang diberi. Yang memberi jangan menghina kecilnya
pahala, sebab yang disedekahkan atau dihadiahkan hanya sedikit sekali, sedang
yang diberi pun jangan menghina orang yang memberi, sebab sedekah atau hadiah
yang disampaikan kepadanya itu hanya sedikit dan kurang berharga, iaitu kaki
kambing atau lain-lain yang sifatnya tidak bernilai tinggi atau tidak mahal
harganya.
125. Kesembilan: Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w.,
sabdanya: "Iman itu ada tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih -
lebihnya ialah antara tiga sampai sembilan - cabangnya. Maka yang terutama
sekali ialah ucapan La ilaha illallah, sedang yang terendah sekali ialah
melemparkan apa-apa yang berbahaya dari jalan. Perasaan malu - berbuat
keburukan - adalah salah satu cabang dari keimanan." (Muttafaq 'alaih)
126. Kesepuluh: Dari
Abu Hurairah r.a. lagi
bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Pada suatu ketika ada seorang lelaki berjalan di suatu
jalan, ia sangat merasa haus, lalu menemukan sebuah sumur, kemudian turun di
dalamnya terus minum. Setelah itu ia pun keluarlah. Tiba-tiba ada seekor
anjing menghulur-hulurkan lidahnya sambil makan tanah kerana hausnya, Orang
itu berkata - dalam hati; "Nescayalah anjing ini telah sampai pada
kehausan sebagaimana yang telah sampai padaku tadi." la pun turun lagi
ke dalam sumur lalu memenuhi sepatu khufnya dengan air, kemudian memegang
sepatu itu pada mulutnya, sehingga ia keluar dari sumur tadi, terus memberi
minum pada anjing tersebut. Allah berterima kasih pada orang tadi dan
memberikan pengampunan padanya."
Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apakah sebenarnya
kita juga memperoleh pahala dengan sebab memberi - makan minum - pada
golongan binatang?" Beliau s.a.w. menjawab:
"Dalam setiap hati yang basah - maksudnya setiap sesuatu
yang hidup yang diberi makan minum - ada pahalanya." (Muttafaq 'alaih)
Dalam sebuah riwayat dari Imam Bukhari disebutkan demikian:
"Allah lalu berterima kasih pada orang tersebut, kemudian memberikan
pengampunan padanya, lalu memasukkannya ke dalam syurga."
Dalam riwayat lain dari Bukhari dan Muslim disebutkan pula:
"Pada suatu ketika ada seekor anjing berputar-putar di sekitar sebuah
sumur, hampir saja ia terbunuh oleh kehausan,tiba-tiba ada seseorang penzina
- perempuan - dari golongan kaum pelacur Bani Israil melihatnya. Wanita itu
lalu melepaskan sepatunya kemudian mengambilkan air untuk anjing tadi dan
meminumkan air itu padanya, maka dengan perbuatannya itu diampunilah wanita
tersebut.
Keterangan:
Hadis di atas mengandungi suatu anjuran supaya kita semua
berbuat baik terhadap segala macam binatang yang muhtaram atau yang
dimuliakan. Yang dimaksudkan binatang muhtaram ialah binatang yang menurut
agama Islam tidak boleh dibunuh.
127. Kesebelas: Dari Abu Hurairah r.a. lagi dari Nabi s.a.w.
sabdanya:
"Nescayalah saya telah melihat seseorang yang bersuka-ria
dalam syurga dengan sebab memotong sebuah pohon dari tengah jalanan yang
pohon itu membuat kesusahan bagi kaum Muslimin." (Riwayat Muslim)
Dalam riwayat Muslim yang lain disebutkan demikian: "Pada
suatu ketika ada seorang lelaki berjalan melalui sebuah cabang pohon yang melintang
di tengah jalanan, kemudian ia berkata:
"Demi Allah, nescayalah pohon ini hendak kulenyapkan dari
jalanan kaum Muslimin supaya ia tidak membuat kesukaran pada mereka
itu." Orang tersebut lalu dimasukkan dalam syurga.
Dalam riwayat Bukhari dan Muslim pula disebutkan demikian:
"Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang berjalan di jalanan. Ia
menemukan cabang dari sebuah pohon berduri pada jalanan itu, kemudian cabang
berduri itu disingkirkan olehnya. Allah lalu berterima kasih kepada orang tadi
dan memberikan pengampunan kepadanya."
128. Keduabelas: Dari Abu Hurairah r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang berwudhu' lalu memperbaguskan wudhu'nya
kemudian mendatangi shalat Jum'at, lalu mendengarkan - khutbah serta berdiam
diri - tidak bercakap-cakap sedikitpun, maka diampunilah untuk antara Jum'at
itu dengan Jum'at yang berikutnya dan ditambah pula dengan tiga hari lagi.
Barangsiapa yang memegang - mempermain-mainkan - batu kerikil - di waktu ada
khutbah - maka ia telah berbuat kesalahan." (Riwayat Muslim)
129. Ketigabelas: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Jikalau seseorang hamba muslim ataupun mu'min berwudhu',
kemudian ia membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya itu setiap
kesalahan yang dilihat olehnya dengan menggunakan kedua matanya bersama
dengan air atau bersama dengan titisan air yang terakhir. Selanjutnya apabila
ia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah dari kedua tangannya itu semua
kesalahan yang diambil - dilakukan - oleh kedua tangannya bersama dengan air
atau bersama titisan air yang terakhir. Kemudian apabila ia membasuh kedua
kakinya, maka keluarlah semua kesalahan yang dijalani oleh kedua kakinya itu bersama
dengan air atau bersama dengan titisan air yang terakhir, sehingga keluarlah
orang tersebut dalam keadaan bersih dari semua dosa." (Riwayat Muslim)
130. Keempatbelas: Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Shalat lima waktu, dari Jum'at yang satu ke Jum'at yang
berikutnya,dari Ramadhan yang satu ke Ramadhan yang berikutnya itu dapat
menjadi penghapus dosa-dosa antara jarak keduanya itu, jikalau dosa-dosa
besar dijauhi." (Riwayat Muslim)
131. Kelimabelas: Dari Abu Hurairah r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sukakah engkau semua saya tunjukkan pada sesuatu amalan
yang dengannya itu Allah akan menghapuskan segala macam kesalahan serta
mengangkat pula dengannya tadi sampai beberapa darjat?" Para sahabat
menjawab; "Baik, ya Rasulullah." Beliau s.a.w. bersabda:
"Iaitu menyempurnakan wudhu' sekalipun menghadapi
kesukaran-kesukaran banyaknya, melangkahkan kaki untuk pergi ke masjid serta
menantikan shalat setelah selesai shalat yang satunya. Yang sedemikian itulah
yang dinamakan perjuangan." (Riwayat Muslim)
Keterangan:
Menyempurnakan wudhu' sekalipun menghadapi kesukaran, misalnya
di saat yang udaranya dingin sekali, sehingga airnya pun menjadi sangat pula
dinginnya.
Dalam Hadis di atas dijelaskan bahawa senantiasa berthaharah yakni
tetap suci dari hadas besar dan kecil, juga shalat dan segala sesuatu yang
dilakukan ditujukan untuk niat beribadat dan berbakti kepada Tuhan, adalah
sama pahalanya dengan berjihad fi-sabilillah.
132. Keenambelas: Dari Abu Musa
al-Asy'ari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang bersembahyang dua shalat barad - makna
sebenarnya dingin, maka ia dapat masuk syurga." (Muttafaq 'alaih)
Dua shalat barad maknanya ialah shalat Subuh dan Asar.
133. Ketujuhbelas: Dari Abu Musa al-Asy'ari pula, katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, maka
dicatatlah untuknya pahala ketaatan sebagaimana kalau ia mengerjakannya di
waktu ia sedang berada di rumah sendiri dan dalam keadaan sihat."
(Riwayat Bukhari)
134. Kelapanbelas: Dari Jabir r.a., katanya: Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Setiap perbuatan baik itu merupakan sedekah."
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari Juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dari
riwayat Hudzaifah r.a.
135. Kesembilanbelas: Dari Jabir r.a. pula, katanya: Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Tiada seorang muslimpun yang menanam suatu tanaman,
melainkan apa saja yang dapat dimakan dari hasil tanamannya itu, maka itu
adalah sebagai sedekah baginya, dan apa saja yang tercuri daripadanya, itu
pun sebagai sedekah baginya. Dan tidak pula dikurangi oleh seseorang lain,
melainkan itu pun sebagai sedekah baginya." (Riwayat Muslim)
Dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan: "Maka
tidaklah seseorang muslim itu menanam sesuatu tanaman, kemudian dari hasil
tanamannya itu dimakan oleh manusia ataupun binatang, ataupun burung, kecuali
semuanya itu adalah sebagai sedekah baginya sampai hari kiamat."
Dalam riwayat Imam Muslim yang lain lagi disebutkan:
"Tidaklah seseorang muslim itu menanam sesuatu tanaman, tidak pula ia
menanam sesuatu tumbuh-tumbuhan, kemudian dari hasil tanamannya itu dimakan
oleh manusia, ataupun oleh binatang ataupun oleh apa
saja, melainkan itu adalah sebagai sedekah
baginya."
Imam Bukhari dan Imam Muslim
meriwayatkan Hadis-hadis semuanya itu dari riwayat Anas r.a.
136. Keduapuluh: Dari Jabir r.a. lagi, katanya: "Bani
Salimah - salah satu kabilah kaum Anshar yang terkenal radhiallahu 'anhum -
bermaksud hendak berpindah tempat di dekat masjid. Berita itu sampai kepada
Rasulullah s.a.w., kemudian beliau s.a.w. bersabda kepada Bani Salimah itu:
"Sesungguhnya saja telah sampai berita kepadaku bahawa engkau semua
ingin berpindah ke tempat di dekat masjid?" Mereka menjawab:
"Benar, ya Rasulullah, kita berkehendak sedemikian
itu." Beliau s.a.w. bersabda lagi:
"Wahai Bani Salimah, tetaplah di
rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah
langkah-langkahmu itu - pahala melangkahkan kaki dari rumah ke masjid itu
pasti dicatat sebanyak yang dijalankan. Jadi tidak perlu berpindah ke dekat
masjid. Tetaplah di rumah-rumahmu itu saja, akan dicatatlah langkah-langkahmu
itu." (Riwayat Muslim)
Dalam riwayat lain disebutkan:
"Sesungguhnya dengan setiap langkah itu ada darjatnya
sendiri." Imam Bukhari meriwayatkan pula dengan pengertian yang semakna
dengan di atas dari riwayat Anas r.a.
137. Keduapuluhsatu: Dari Abdulmundzir iaitu Ubaybin Ka'ab r.a.
katanya: "Ada seseorang yang saya tidak mengetahui ada orang lain yang
rumahnya lebih jauh lagi daripada orang itu untuk pergi ke masjid. Orang tadi
tidak pernah terluput oleh shalat - jamaah. Kemudian kepadanya itu
ditanyakan, atau saya sendiri bertanya kepadanya: Alangkah
baiknya jikalau engkau membeli seekor keledai yang dapat engkau
naiki apabila malam gelap gulita ataupun di waktu siang yang panasnya amat
terik." Orang itu menjawab: "Saya tidak senang sekiranya rumahku
itu ada di dekat masjid. Sesungguhnya saya ingin sekali kalau perjalananku ke
masjid itu dicatat- sebagai pahala, demikian juga pulangku jikalau saya
pulang ketempat keluargaku."Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Allah
telah mengumpulkan untukmu semua yang kau kehendaki itu - yakni keinginanmu
untuk memperoleh pahala banyak itu dikabulkan oleh Allah."
Dalam riwayat lain disebutkan:
"Sesungguhnya bagimu adalah pahala apa yang telah engkau
amalkan-yakni diperhitungkan menurut banyak sedikitnya langkah yang dijalani
dari rumah ke masjid itu."
Ar-ramdha' ialah bumi yang terkena
panas matahari yang amat terik.
138. Keduapuluh dua: Dari Abu Muhammad iaitu Abdullah bin
'Amr bin Ash radhiallahu 'anhuma,
katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada empat puluh perkara, setinggi-tingginya - dalam
darjat-nya - ialah memberikan - manihah - kambing. Tiada seorangpun yang
mengerjakan salah satu perkara dari empat puluh perkara itu, dengan
mengharapkan pahalanya dan mempercayai apa yang dijadikan - oleh Tuhan -
melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam syurga." (Riwayat Bukhari)
Manihah ialah memberikan kambing
betina pada orang lain agar diperah susunya - binatang yang diberikan tadi,
lalu dimakan -yakni diminum, kemudian dikembalikan lagi kepada yang
memilikinya, apabila sudah habis susu yang ada di dalam teteknya. Manihah itu
dapat berupa kambing dan disebut Manihatul 'ami atau Manihatusy
syaati dan dapat pula berupa unta, lalu disebut Manihatun naaqati.
139. Keduapuluh tiga: Dari 'Adi bin Hatim r.a., katanya: Saya
mendengar Nabi s.a.w. bersabda:
"Takutlah pada - seksa - neraka itu, sekalipun dengan
memberikan sedekah potongan kurma." (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat Bukhari dan Muslim, disebutkan lagi, dari 'Adi bin
Hatim, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tiada seorangpun dari engkau semua, melainkan akan diajak
berbicara oleh Tuhannya dan antara dia dengan Tuhannya tidak ada seorang
tarjumanpun - penyambung kata. Orang itu melihat ke sebelah kanannya, maka
tidak ada yang dilihat olehnya kecuali amalan yang telah dilakukannya sebelum
itu -dari amalan yang baik - dan juga dia melihat ke sebelah kirinya, maka
tidak ada pula yang dilihat olehnya, kecuali amalan yang dilakukan sebelum
itu - dari amalan yang buruk. Dia melihat pula antara kedua tangannya, maka
tidak ada yang dilihatnya kecuali neraka yang ada di hadapannya. Maka
takutlah engkau semua pada - siksa - neraka, sekalipun dengan bersedekah
potongan kurma. Kemudian barangsiapa yang tidak menemukan sesuatu untuk
disedekahkan, maka bersedekahlah dengan ucapan yang baik saja."
140. Keduapuluh empat: Dari Anas r.a., katanya: "Rasulullah
s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah itu nescaya meredhai pada seseorang
hamba, jikalau ia makan sesuatu makanan - pagi ataupun petang, kemudian
mengucapkan puji-pujian kepada Allah atas makanan yang dimakannya itu,
ataupun meminum sesuatu minuman, kemudian mengucapkan puji-pujian kepada
Allah atas minuman yang diminumnya itu." (Riwayat Muslim)
Al-Aktah, dengan difathahkan
hamzahnya, ertinya ialah makan siang atau makan malam.
141. Keduapuluh lima: Dari Abu Musa r.a. dari Nabi s.a.w.,
sabdanya: "Setiap orang Islam itu harus bersedekah." Abu Musa
bertanya: "Tahukah Tuan, bagaimanakah jikalau ia tidak menemukan sesuatu
untuk disedekahkan?" Beliau menjawab: "Kalau tidak ada hendaklah ia
bekerja dengan kedua tangannya, kemudian ia dapat memberikan kemanfaatan
kepada dirinya sendiri, kemudian bersedekah." Ia bertanya lagi:
"Tahukah Tuan, bagaimanakah jikalau ia tidak kuasa berbuat
demikian?" Beliau menjawab: "Hendaklah ia memberikan pertolongan
kepada orang yang menghajatkan bantuan." Ia bertanya lagi: "Tahukah
Tuan, bagaimanakah jikalau ia tidak dapat berbuat demikian?" Beliau
menjawab: "Hendaklah ia memerintah dengan kebaikan atau kebagusan."
Ia bertanya lagi: "Tahukah Tuan, bagaimanakah jikalau ia tidak kuasa
berbuat demikian." Beliau menjawab: "Hendaklah ia menahan diri dari
berbuat kejahatan, maka yang sedemikian itupun sebagai sedekah yang diberikan
olehnya." (Muttafaq 'alaih)
|
|
Catatan pribadi agar tidak hilang untuk dibaca anak cucu dikemudian hari, amin
Jumat, 13 Januari 2017
Terjemah Riyadlush-sholihin Bab. 13 Menerangkan Banyaknya Jalan-jalan Kebaikan
Langganan:
Posting Komentar (Atom)

Tidak ada komentar:
Posting Komentar