Bab.10
Bersegera Kepada Kebaikan Dan
Menganjurkan Kepada Orang Yang Menuju Kebaikan Supaya Menghadapinya Dengan
Sungguh-sungguh Tanpa Keragu-raguan
Allah Ta'ala berfirman:
"Maka berlumba-lumbalah engkau sekalian untuk mengerjakan
berbagai kebaikan." (al-Baqarah: 148)
Allah Ta'ala berfirman pula:
"Dan bersegeralah engkau sekalian menuju pada pengampunan
dari Tuhanmu dan juga memasuki syurga yang luasnya adalah seperti langit dan
bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa." (ali-lmran: 133)
Adapun Hadis-hadisnya ialah:
87. Pertama: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Bersegeralah engkau sekalian untuk melakukan amalan-amalan
- yang bagus-bagus - sebelum datangnya bermacam-macam fitnah yang diumpamakan
sebagai potongan-potongan dari malam yang gelap gulita."
Berpagi-pagi seseorang itu menjadi orang mu'min dan
berpetang-petang menjadi orang kafir, ada lagi yang berpetang-petang masih
sebagai seorang mu'min, tetapi berpagi-pagi telah menjadi seorang kafir.
Orang itu menjual agamanya dengan harta dari keduniaan." (Riwayat
Muslim)
88. Kedua: Dari Abu Sirwa'ah (dengan kasrahnya sin yang muhmalah
dan boleh pula dengan difathahkannya), iaitu 'Uqbah bin al-Harits r.a.,
katanya: "Saya bersembahyang di belakang Nabi s.a.w. di Madinah yakni
shalat 'ashar. Kemudian setelah bersalam lalu berdiri bergegas-gegas, terus
melangkahi leher orang-orang banyak untuk menuju ke salah satu bilik
isterinya. Orang-orang banyak yang takut kerana melihat bergegas-gegasnya
beliau itu. Selanjutnya Nabi s.a.w. keluar lagi menemui sahabat-sahabatnya
itu lalu mengetahui bahawa mereka itu benar-benar terhairan-hairan kerana
bergegas-gegasnya tadi. Beliau s.a.w. lalu bersabda:
"Saya ingat pada sepotong emas yang ada di tempatku, maka
saya tidak senang kalau benda itu mengganggu fikiranku - untuk menghadap
Allah Ta'ala. Oleh sebab itu saya menyuruh supaya benda tadi dibahagi-bahagikan."
(Riwayat Bukhari)
Dan disebutkan dalam riwayat Imam Bukhari yang lain demikian:
"Saya meninggalkan di rumah sepotong emas dari hasil sedekah, maka saya
tidak senang kalau sampai menginapkannya."
At-tibru, ertinya ialah potongan-potongan emas atau perak.
89. Ketiga: Dari Jabir r.a., katanya: Ada seorang lelaki berkata
kepada Nabi s.a.w. pada hari perang Uhud: "Bagaimanakah pendapat Tuan
jikalau saya terbunuh, di manakah tempatku?" Nabi s.a.w. bersabda:
"Dalam syurga."
Orang tersebut lalu melemparkan beberapa buah kurma yang masih
di tangannya kemudian berperang sehingga ia dibunuh - mati syahid."
(Muttafaq 'alaih)
90. Keempat: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ada seorang
lelaki datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, sedekah
manakah yang teragung pahalanya?" Beliau s.a.w. bersabda:
"Iaitu jikalau engkau bersedekah, sedangkan engkau itu
masih sihat dan sebenarnya engkau kikir - merasa sayang mengeluarkan sedekah
itu, kerana takut menjadi fakir dan engkau amat mengharap-harapkan untuk
menjadi kaya. Tetapi janganlah engkau menunda-nunda sehingga apabila nyawamu
telah sampai di kerongkong lalu berkata: "Untuk si Fulan itu, yang ini
dan untuk si Fulan ini, yang itu, sedangkan orang yang engkau maksudkan itu
telah memiliki apa yang hendak kau berikan." (Muttafaq 'alaih)
Hulqum adalah jalan pernafasan
sedang mari' adalah jalan makan dan minuman.
91. Kelima: Dari Anas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
mengambil pedangnya pada hari perang Uhud, kemudian bersabda: "Siapakah
yang suka mengambil pedang ini daripadaku?" Orang-orang sama
mengacungkan tangannya masing-masing, yakni setiap orang dari sahabat-sahabat
itu berbuat demikian sambil berkata: "Saya, saya." Beliau berkata
lagi: "Siapakah yang dapat mengambilnya dengan menunaikan haknya?"
Orang-orang semuanya berdiam diri. Selanjutnya Abu Dujanah - namanya sendiri
Simak bin Kharsah - berkata: "Saya dapat mengambil pedang itu dengan
menunaikan haknya." Pedang itu lalu digunakan oleh Abu Dujanah untuk
memenggal kepala-kepala kaum musyrikin." (Riwayat Muslim)
92. Keenam: Dari Zubair bin 'adiy, katanya: "Kita semua
mendatangi Anas bin Malik r.a., kemudian kita mengadukan padanya perihal apa
yang kita temui dari perlakuan Hajjaj - seorang panglima dari dinasti Bani
Umayyah dan ia adalah seorang zalim, lalu Anas berkata: "Bersabarlah
engkau sekalian, sebab sesungguhnya saja tidaklah datang sesuatu zaman
melainkan apa yang sesudahnya itu tentu lebih buruk daripada zaman itu
sendiri, demikian itu sehingga engkau sekalian menemui Tuhanmu. Ucapan
semacam ini pernah saya dengar dari Nabimu sekalian s.a.w. (Riwayat Bukhari)
93. Ketujuh: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Bersegeralah engkau sekalian melakukan amalan-amalan -yang
baik - sebelum datangnya tujuh macam perkara. Apakah engkau sekalian
menantikan - enggan melakukan dulu, melainkan setelah tibanya kefakiran yang
melalaikan, atau tibanya kekayaan yang menyebabkan kecurangan, atau tibanya
kesakitan yang merosakkan, atau tibanya usia tua yang menyebabkan
ucapan-ucapan yang tidak keharuan lagi, atau tibanya kematian yang
mempercepatkan - lenyapnya segala hal, atau tibanya Dajjal, maka ia adalah
seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu, atau tibanya hari kiamat, maka
hari kiamat itu adalah lebih besar bencananya serta lebih pahit
penanggunggannya."
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini
adalah Hadis hasan.
94. Kelapan: Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda pada hari perang Khaibar:
"Nescayalah bendera ini akan kuberikan kepada seseorang
lelaki yang mencintai Allah dan RasulNya, Allah akan membebaskan - beberapa
benteng musuh - atas kedua tangannya."
Umar r.a. berkata: "Saya tidak menginginkan keimarahan
-kepemimpinan di medan perang - melainkan pada hari itu belaka kemudian saya
bersikap untuk menonjolkan diri pada Nabi s.a.w. dengan harapan agar saya
dipanggil untuk memegang bendera itu.
Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. memanggil Ali bin Abu Thalib r.a.,
lalu memberikan bendera tadi padanya dan beliau s.a.w. bersabda:
"Berjalanlah dan jangan menoleh-noleh lagi sehingga Allah
akan membebaskan - benteng-benteng musuh - atasmu."
Ali berjalan beberapa langkah kemudian berhenti dan tidak
menoleh, kemudian berteriak:
"Ya Rasulullah, atas dasar apakah saya akan memerangi para
manusia?" Rasulullah s.a.w. menjawab:
"Perangilah mereka sehingga mereka suka menyaksikan bahawa
tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah.
Apabila orang itu telah berbuat demikian, maka tercegahlah mereka itu
daripadamu, baik darah dan harta mereka, melainkan dengan haknya, sedang
hisab mereka itu adalah tergantung pada Allah." (Riwayat Muslim)
Fatasaawartu, dengan sin muhmalah
(yakni sin tak bertitik dan bukan syin yang bertitik tiga di atas), ertinya:
"Saya melompat ke muka untuk menampakkan diri."
Keterangan:
Maksud dari Hadis di atas itu ialah bahawa yang diperintahkan
oleh Rasulullah s.a.w. kepada Sayidina Ali r.a. dan seluruh pasukannya ialah memerangi
manusia-manusia musyrik yakni yang menyembah selain Allah atau yang tidak
mempercayai adanya Allah serta keesaanNya dan tidak pula mempercayai tentang
diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi apabila mereka suka mengikuti seruan
agama Islam yang benar, sama sekali tidak boleh diganggu, baik keselamatan
jiwa atau pun harta mereka.
Namun demikian, manakala hak atau ketentuan agama Islam
menghendaki, boleh saja seseorang itu dibunuh, seperti orang yang sengaja
membunuh orang lain. Jadi sekalipun sudah masuk Islam wajib pula dibunuh
sebagai qishash atau balasan pembunuhannya. Demikian pula seperti dipotong
tangan kerana mencuri yang sudah mencapai batas untuk bolehnya dipotong atau
pun diberi hukuman pukul (didera) serta direjam, menurut ketentuannya sendiri-sendiri,
jika melakukan perzinaan dan lain-lain lagi. Inilah yang dimaksudkan dengan
sabda Nabi s.a.w.
"Kecuali dengan haknya."
Mengenai hisab atau perhitungan amal perbuatan mereka adalah
menjadi urusan Allah Ta'ala sendiri.
Perlu dimaklumi bahawa golongan Ahlulkitab yakni kaum yang
beragama Nasrani atau Yahudi, tidak boleh secara langsung diperangi. Mereka
diperbolehkan memilih salah satu di antara dua hal yakni membayar pajak. Ini
adalah pilihan yang pertama. Jika mereka suka melaksanakan itu, mereka pun
wajib dilindungi keselamatan diri dan hartanya. Tetapi jikalau enggan, maka
pilihan kedua boleh dilaksanakan, iaitu boleh diperangi.
10.
Hadis ini memberikan suatu isyarat bahwa pada akhir zaman
nanti akan banyak sekali terjadi berbagai macam fitnah dan datang secara
beruntun-runtun. Setiap satu macam fitnah telah lenyap, lalu disusul pula
oleh fitnah yang lainnya. Semoga kita dikaruniai keselamatan oleh Allah.
|
Catatan pribadi agar tidak hilang untuk dibaca anak cucu dikemudian hari, amin
Jumat, 13 Januari 2017
Terjemah Riyadlush-sholihin Bab 10.Bersegera Kepada Kebaikan Dan Menganjurkan Kepada Orang Yang Menuju Kebaikan Supaya Menghadapinya Dengan Sungguh-sungguh Tanpa Keragu-raguan
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar